Pages

Sunday, February 20, 2011

'Pesta Angin Timur... di Bendang' 26-27 Feb 2011

JOM BERPESTA DI TENGAH BENDANG !

Pelbagai aktiviti menarik berasaskan produk pelancongan budaya untuk disertai orang ramai seperti Pertandingan Memasak Asam Pedas Ikan Darat & Gulai Rebung, Demontrasi membuat Kuih Karas, Pertandingan Tarik Tali, Persembahan Kesenian, Demontrasi membuat Serunai Batang Padi dan Kelarai, Pertandingan Menggagau Ikan, Persembahan Wayang Kulit Seri Asun, Demonstrasi membuat Ikan Pekasam, emping, menganyam tikar mengkuang dan membuat belacan serta acara memecahkan Malaysian Book of Records : Tumbuk Sambal Belacan 1000 orang.

Kedudukan mukim Kg Banir Tembus

Pertandingan Memasak Nasi Kerabu dan Sayur Keladi, Pertandingan Mr. Badang Perlis, Pertandingan Tarik Upih, Galah Panjang (Toi), Wau, Jengkek dan kenduri rakyat! Acara juga turut dihiasi dengan Persembahan Artis Tempatan dan Ghazal Party Nurul Amar. Semuanya di tengah-tengah bendang! Buat pertama kalinya di Malaysia.




Artikel yang dicopy dari laman Utusan Malaysia:-

Utusan Malaysia : 10 Feb 2011 : 'Pesta Angin Timur... di Bendang'
Oleh MARZITA ABDULLAH

KANGAR 10 Feb. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan 'Pesta Angin Timur... di Bendang' yang terbesar di negeri ini selama dua hari bermula 26 Februari ini.

Lebih 3,000 rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum akan menyertai pesta tersebut, termasuk acara istimewa yang akan dicatat dalam The Malaysia Book of Records iaitu 'Tumbuk Sambal Belacan Teramai 1,000 orang'.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Sumber Manusia, Perpaduan dan Pengangkutan negeri, Abdul Jamil Saad berkata, pesta itu akan diadakan di Kampung Banir Tembus, Mukim Sanglang, Simpang Empat, di sini.

"Selain acara tumbuk belacan, terdapat program lain yang diatur iaitu persembahan tradisional, sukan rakyat, kenduri rakyat, pertandingan memasak makanan tradisional, gerai jualan dan pameran serta demonstrasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perlis, Mohd. Rizal Ismail dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Perlis, Fadina Othman di sini hari ini.

Beliau berkata, program kenduri rakyat akan disertai oleh lebih 3,000 rakyat negeri ini bermula dengan gotong-royong kenduri pada malam 26 Februari. manakala jamuan diadakan pada pukul 11 pagi keesokan hari.

"Menu utama ialah masakan budaya tempatan yang terdiri daripada gulai ikan talang, sambal ikan keli, ulam-ulaman tempatan dan sambal belacan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertandingan memasak makanan tradisional akan mewajibkan para peserta menggunakan peralatan memasak zaman dahulu, termasuk menggunakan kayu api.

"Menu masakan yang dipertandingkan ialah asam pedas ikan darat, gulai rebung dan sayur keladi serta nasi ulam," ujarnya.

Abdul Jamil berkata, persembahan tradisional yang akan dipersembahkan nanti turut bertujuan untuk mengembalikan nilai budaya kepada generasi muda.

Persembahan yang diadakan adalah Awang Batil, Alu Bunyi, Hadrah, Terinai, lagu tradisional rakyat, Wayang Kulit Seri Asun dan ghazal pati Nurul Amar.

Pesta itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan gendang pelbagai kaum semasa majlis perasmian pada 27 Februari ini.

'Pesta Angin Timur...di Bendang' dianjurkan bagi mengangkat kesenian tradisional dan sukan rakyat iaitu diadakan ketika musim menuai padi yang menjurus kepada aktiviti di sawah seperti timba telaga, sukan bendang dan permainan wau.

Dalam pesta tersebut, suasana kampung diwujudkan dengan membina teratak dan dangau beratap rumbia, pangkin untuk tempat duduk orang ramai serta menu utama semasa gotong-royong iaitu pulut ikan kering dan ubi kayu.

Sementara itu, Mohd. Rizal berkata, melalui pesta itu, ia bertujuan mencapai objektif untuk mengangkat kesenian dan permainan rakyat Perlis agar dapat digilap dan diasah supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

"Pesta itu akan menjadi perangsang kepada generasi sekarang dan akan datang untuk mengekalkan kebudayaan dan permainan tradisional agar tidak hilang," ujar beliau.

Katanya, ia juga sejajar dengan usaha merealisasikan matlamat utama gagasan 1Malaysia dengan adanya elemen-elemen penyatuan dalam kepelbagaian melalui aktiviti saling bantu-membantu dalam melaksanakan semua aktiviti yang dirancang.

No comments:

Post a Comment